KUALA LUMPUR, 2 April- Pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial dinasihati, menghasilkan kandungan yang sesuai dengan semua lapisan umur terutama kanak-kanak.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerajaan bimbang dengan kandungan yang boleh mendatangkan kesan negatif terutama kepada kanak-kanak di bawah 13 tahun.
"Saya harap para pempengaruh dan public figure melihat content mereka ini boleh ditonton oleh mereka yang bawah umur.
"Pada masa yang sama saya akan adakan pertemuan dalam masa terdekat kerana kita mungkin perlu membuat beberapa keputusan terutama untuk pastikan media sosial ini selamat digunakan dan tidak digunakan oleh kanak-kanak di bawah usia 13 tahun", katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Fahmi di sini, malam ini.
Beliau sebelum itu menyentuh isu kontroversi melibatkan seorang usahawan kosmetik, yang memuat naik sedutan lagu Aidilfitri terbaharu di akaun media sosial peribadinya.
Beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengambil tindakan bersesuaian berhubung sedutan klip video yang dimuat naik oleh usahawan kosmetik itu.