fb fb fb fb fb

Penceramah agama di masjid, surau di Johor perlu dapat tauliah MAINJ

ISKANDAR PUTERI, 16 Mac- Semua penceramah agama yang ingin menyampaikan ceramah di masjid atau surau di Johor perlu mendapat pentauliahan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan perkara itu, bagi memastikan tidak ada kekeliruan dalam kalangan umat Islam khususnya golongan muda berhubung fahaman agama.

"Sekiranya ada mana masjid atau surau yang gagal mematuhi peraturan ini maka semua ahli jawatankuasanya akan di ambil tindakan dan dipecat. Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk mengawal penyebaran fahaman yang meleweng atau terpesong," titah baginda.

(Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Pihak AJK masjid atau surau boleh mendapatkan kebenaran untuk melaksanakan program ceramah agama, daripada Pejabat Kadi Daerah masing-masing.

Baginda turut bertitah agar mutu pendidikan agama di sekolah serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat ditingkatkan bagi melahirkan warga muda yang lebih berilmu.

Pada 8 Mac lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan memperkenankan langkah MAINJ untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini.

Tindakan undang-undang juga dilaporkan akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.

Mana-mana penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah yang tidak bertauliah dari MAINJ adalah melakukan satu kesalahan penyubahatan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dedenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sedua-duanya sekali," katanya.

Mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Media Baharu