fb fb fb fb fb

Pencemaran air, Aminuddin tidak akan berkompromi dengan pelaku

Foto BERNAMA

RANTAU, 18 Januari- Tindakan pantas Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS), Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKANS) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) serta agensi lain yang terlibat berjaya mengesan dan menghalang aliran cecair, disyaki minyak enjin daripada memasuki Sungai Linggi yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Linggi.

Tindakan itu berjaya mengelakkan berlakunya gangguan bekalan air yang boleh menjejaskan penduduk di kawasan berdekatan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, proses persampelan air telah dibuat bagi tujuan siasatan dan perundangan.

"Saya ingin mengingatkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang semakin hampir ini, saya harap masyarakat akan terus beri perhatian dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai. Hargai sumber air kita. Pelbagai kempen kita lakukan termasuk Hari Sungai, Hari Alam Sekitar dengan kos belanja berjuta-juta ringgit."

"Namun, masih ada lagi yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab. Air ini adalah sumber makan dan minum harian kita, maka ia adalah keutamaan untuk kita semua," kata Aminuddin kepada pemberita ketika sidang media selepas membuat lawatan di LRA Linggi, di sini.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam membanteras kes pencemaran sumber air serta tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku yang tidak bertangunggjawab.

Terdahulu, BKANS menerima aduan berhubung pencemaran Sungai Linggi yang dikesan berpunca daripada longkang awam di kawasan kampung Bemban Hilir.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM