fb fb fb fb fb

Jambatan kekal akan dibina di Laluan Persekutuan FT12 Kuantan-Segamat

Menurut Ahmad, jambatan yang menelan belanja RM17 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

PEKAN, 18 Januari- Satu jambatan kekal akan dibina di Kilometer 73, Seksyen 102, Laluan Persekutuan FT12 Kuantan – Segamat di Pekan, Pahang bagi menggantikan jalan yang mendap pada 7 Januari lalu.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, jambatan yang menelan belanja RM17 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

"Kita ada perancangan tentunya di jalan asal. Perancangan kita telah diangkat daripada Kementerian Kerja Raya ke Kementerian Ekonomi. Satu jambatan kekal dengan kos RM17 juta dalam tempoh, harapnya tiga tahun selesai," kata Ahmad kepada pemberita ketika meninjau kerja pemasangan jambatan Bailey di sini.

Sementara itu, Ahmad berkata pemasangan jambatan Bailey tersebut berjaya disiapkan hanya dalam tempoh tiga hari iaitu bermula Khamis hingga Sabtu minggu lalu.

"Bagaimanapun, oleh kerana cuaca hujan dan sebagainya, premix ke arah jambatan Bailey ini belum dapat disiapkan. Jika ada cuaca yang panas walau setakat setengah hari, kita boleh siapkan premix jalan ini dan ia boleh dibuka untuk kegunaan orang awam tak lama lagi. Kerja-kerja tar jalan bagi laluan jambatan Bailey itu melibatkan peruntukan RM550,000," katanya.

Jambatan Bailey berkenaan merupakan yang ketiga dipasang di negara ini selepas jambatan sama dipasang di Klebang, Melaka dan Jeli, Kelantan; dalam tempoh Monsun Timur Laut antara 2023 hingga 2024.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM