fb fb fb fb fb

Penarikan vaksin AstraZeneca, KKM akan keluarkan kenyataan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat berhubung penarikan balik vaksin COVID-19, AstraZeneca dalam pasaran dunia.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"KKM akan mengeluarkan kenyataan tentang isu ini dalam waktu terdekat ini, harap bersabar," kata Dzulkefly ketika ditemui media selepas hadir merasmikan majlis perasmian 'Clinical Research Malaysia Trial Connect 2024' di sini.

Terdahulu, permohonan pengeluaran vaksin itu telah dibuat selepas syarikat pengeluaran AstraZeneca mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berbahaya.

Vaksin itu juga tidak lagi dibenarkan untuk digunakan di Kesatuan Eropah (EU) memandangkan syarikat berkenaan secara sukarela menarik balik 'kebenaran pemasarannya'.

Permohonan pengeluaran yang sama akan dikemukakan di United Kingdom (UK) dan negara lain yang sebelum ini telah meluluskan vaksin yang dikenali sebagai Vaxzevria.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM