fb fb fb fb fb

Penangguhan ibadah umrah wajar dari sudut Fiqh

KUALA LUMPUR, 7 Januari - Penangguhan ibadah Umrah wajar dilakukan dari sudut Fiqah selaras syarak atau bersandarkan hukum islam.

Itu penjelasan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani selepas kerajaan membuat keputusan penangguhan sementara untuk mengerjakan Ibadah Umrah bermula esok.

Jelasnya, situasi itu disyarakkan dalam Islam selepas mengambil kira kemudaratan bakal dihadapi semasa mengerjakan umrah dan risiko selepas kembalinya ke tanah air.

Justeru, adalah dibenarkan bagi pihak berkuasa untuk menentukannya.

"Maka dari sudut fiqah, hukumnya memang sesuai sangat pihak kerajaan atau pun pihak berkuasa untuk menangguh yang disebut dengan ibadah umrah ini.

"Janganlah pula kita mempertikaikan perkara demikian kerana kemaslahatan ummah itu lebih diutamakan dan dibandingkan kemaslahatan perseorangan," katanya dalam temu bual bersama RTM.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim mahu penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) harus sampai kepada rakyat bagi mengelakkan salah faham.

"Penjelasan daripada pihak berwajib Arab Saudi juga perlu dikepilkan bersama oleh kerajaan yang menunjukkan bahawa di negara itu sedang berlaku penyebaran wabak Omicron yang sangat ditakuti di Arab Saudi.

"Jadi untuk membuktikan bahawa Arab Saudi hari ini dalam keadaan bahaya, maka penutupan itu perlu dilakukan dalam negara kita", jelas Dr. Mohd Izhar.

Beliau juga mahu platform media sosial perlu digunakan sebaiknya dalam menyebarkan maklumat, lebih-lebih lagi masyarakat masa kini yang kebanyakannya bergantung kepada media dalam talian.

"Apa yang boleh diharapkan, agar semua akur dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, demi kesejahteraan semua," katanya

Sebelum ini, KKM meramalkan kes bakal melonjak sehingga 15,000 jika tiada tindakan seperti sekatan sementara bagi ibadah umrah.

 

Media Baharu