fb fb fb fb fb

Penambahan kuota bagi ibadah haji Malaysia tidak diluluskan Arab Saudi

IPOH, 30 Mac- Kuota bagi ibadah haji ketika ini tidak dapat ditambah susulan daripada beberapa kekangan yang dihadapi Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata perkara tersebut bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia malah seluruh negara yang membuat permohonan tersebut.

"Memang itu permintaan dan harapan kita tetapi yang nak berinya daripada pihak kementerian haji di sana. Baru-baru ini, kita minta supaya ditingkatkan tapi mereka mempunyai kekangan antaranya masalah penginapan hotel, kerana di sana banyak yang tidak buka."

"Bagaimanapun, kita harapkan hotel disana dapat buka dan kuota pun mereka tak boleh berikan jaminan kepada semua negara lagi," kata Idris kepada RTM selepas menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada 21 orang mangsa ribut yang berlaku di beberapa kawasan di Sungai Rokam, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan pemain industri pakej haji berharap kerajaan Arab Saudi dapat meningkatkan kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu.


(FOTO AFP)

Sementara itu, beliau juga memberitahu pihak imigresen Arab Saudi akan tiba di Malaysia selewat-lewatnya esok bagi membantu jemaah mempercepatkan urusan perjalanan mengerjakan haji di pintu masuk negara berkenaan.

"Pihak imigresen dari Arab Saudi telah pun turun, saya ingat mungkin hari ini atau esok akan turun ke Malaysia untuk berjumpa dan imigresen Arab Saudi sendiri akan cap pasport di sini. Esok, jemaah haji kita sampai ke lapangan terbang terus masuk ke hotel," tambahnya.

Media Baharu