fb fb fb fb fb

Penamaan Calon PRK DUN Pelangai, lancar

BENTONG, 23 September- Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Pelangai di dewan Orang Ramai Felda Kemasul berjalan lancar, pagi tadi.

Calon parti Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat tiba di Dewan Penamaan Calon pada pukul 8.15 pagi disusuli calon parti Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam pada pukul 8.55 pagi.

Calon BN Amizar Abu Adam merupakan individu pertama menyerahkan borang penamaan bersama penyokong dan pencadang dan diikuti Calon PN, Kasim Samat.

Pada pukul 9.05 pagi tadi, calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli tiba bagi menyerahkan borang penamaan calon.

Bermula 9.00 pagi tadi semua calon mempunyai tempoh sejam hingga 10.00 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pusat penamaan calon sebelum diisytiharkan layak bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.

Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga pukul 11.59 malam, 6 Oktober depan.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara. 

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.


(Calon BN Datuk Amizar Abu Adam)

Media Baharu