fb fb fb fb fb

Pemuda UMNO Kangar teruskan Program Buy2Give untuk tahun ketiga

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya turut turun padang memeriahkan Program Buy2Give bersama Pemuda UMNO Bahagian Kangar di Bazar Ramadan Dataran MAIPs

KANGAR, 20 Mac- Pemuda UMNO Bahagian Kangar meneruskan inisiatif Program Buy2Give, berkonsepkan membeli makanan dan minuman daripada peniaga bazar Ramadan dan disedekahkan kepada pengunjung di bazar berkenaan.

Program memasuki tahun ketiga dilaksanakan sempena Ramadan itu, tertumpu di bazar Ramadan melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri bagi Parlimen Kangar.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar, Saiful Fariddil Jasmi, sebanyak lima siri program dilaksana dengan menjelajah ke bazar Ramadan dengan membeli makanan dan minuman dari peniaga yang kemudian diagihkan pula kepada pengunjung bazar berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak RM500 diperuntukkan bagi setiap Bazar Ramadan dikunjungi bermula di Bazar Ramadan Dataran MAIPs, diikuti Bazaar Ramadan Bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Bazar Ramadan Bintong dan Bazar Ramadan Kuala Perlis serta satu lagi yang akan ditentukan.

"Pelaksanaannya merupakan Tanggungjawab Sosial Pemuda UMNO Bahagian Kangar bagi berkongsi rezeki nikmat Ramadan dengan masyarakat setempat supaya dapat bersama-sama menghayati bulan yang mulia ini.

"Selain itu, pendekatan ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dan saling tolong menolong antara satu sama lain serta menginsafi bahawa tidak semua antara kita berpeluang menyediakan juadah berbuka puasa khususnya mereka yang kurang berkemampuan,"katanya.

Beliau memaklumkannya pada Program Buy2Give bersama Pemuda UMNO Bahagian Kangar di Bazar Ramadan Dataran MAIPs yang turut disertai Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Program Buy2Give merupakan sebahagian daripada lebih 40 program sempena Ramadan UMNO Bahagian Kangar kali ini yang mendapat kerjasama Biro Bela Rakyat dan Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MYVO).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE