ALOR SETAR, 20 Mac - Polis Kedah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan sempadan negara Malaysia-Thailand di negeri itu bagi mengelak aktiviti penyeludupan barang terlarang menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Ia termasuk penyeludupan mercun; barangan bersubsidi seperti minyak petrol dan diesel; penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI); dan dadah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya sentiasa berkolaborasi bersama pelbagai agensi dan jabatan di sempadan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras.
Katanya, kawasan sempadan dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Perlis dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).
Manakala kawasan dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Durian Burung, Padang Terap dikawal oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sementara itu, jabatan dan agensi di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung juga sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi membendung sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kita sentiasa serius. Kalau tuan-tuan kata dalam isu sempadan kita tidak mahu ambil pendekatan orang kata isu sempadan ini kita dah ini (perlahankan).
"Cabaran memang ada tapi yang saya kata tadi isu-isu yang kita memang tahu.
"Kita sentiasa bekerjasama dengan semua jabatan dan (agensi) di sempadan sana", katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu slot khas sempena sambutan Hari Polis ke 217 bersama Dj Ezza di konti KEDAHfm di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim, di sini.