fb fb fb fb fb

Pempengaruh ditegur jangan normalisasi maksiat - Mohd Na'im

Salah sebuah podcast menyiarkan gambar programnya yang menjemput tertuduh kes persundalan

KUALA LUMPUR, 9 Februari- Pempengaruh media diingatkan agar tidak mencipta sensasi serta menagih populariti sehingga sanggup menormalisasikan perkara mungkar dan maksiat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan sebuah program podcast mengundang seorang individu yang sedang dibicarakan di mahkamah berkaitan aktiviti persundalan sebagai tetamu adalah sesuatu tidak wajar. 

"Kita tidak boleh mempromosikan perkara-perkara maksiat, sebab podcast ini akan ditonton oleh golongan belia, remaja.

"Persundalan (atau) pelacuran ini adalah satu kesalahan, sama ada dalam undang-undang sivil mahupun dalam undang-undang syariah.

"Jadi saya harapkan sangat, jangan disebabkan mengejar populariti, kita (sampai) tidak boleh nak membezakan mana yang baik dan mana yang buruk," katanya di sini.

Mohd Na’im ditemui pemberita selepas menyantuni Mohamad Salman yang merupakan seorang asnaf juga dikenali sebagai ‘Frogman’ oleh warganet kerana mengenakan maskot katak sebagai sumber utama pendapatan dia menyara keluarganya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bakul rezeki dan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Mohamad Salman dan keluarganya.

Podcast adalah program sembang atau bual menerusi medium audio digital yang kini semakin meluas di Malaysia.

0902 MENTERI AGAMA HOT DADDY 2
Dr. Mohd Na’im Mokhtar (duduk, kiri) melawat keluarga ‘Frogman’ serta menyampaikan sumbangan

SITI AISHAH BINTI MD ISA