(Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Utara di Alor Setar, Kedah)
ALOR SETAR, 21 September- Pempengaruh media sosial digalak memainkan peranan dalam mempromosi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sebagai tanda semangat patriotisme terhadap negara
Peranan tersebut dapat membantu usahawan tempatan, selain meningkatkan taraf ekonomi masyarakat dalam usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.
Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Rohaizi Bahari berkata, usahawan tempatan juga perlu membantu kerajaan memastikan barangan yang dijual berkualiti dan mampu milik.
"Kalau boleh review (ulas) barangan tempatan. Kalau ada produk-produk (tempatan) yang baik (berkualiti) yang belum diketengahkan kepada umum, influencer (pempengaruh) boleh viralkan (tular).
"Kita tengok semangat yang ada dalam masyarakat Malaysia, (misalnya) ada makanan atau restoran yang baik atau rare (lain daripada yang lain), akan ada sahaja orang viralkan dan ramai mengunjung akan hadir. Jadi semangat yang sama boleh terapkan dalam kempen ini," katanya kepada media selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Utara di sini.
Sebanyak 20 pempamer terdiri daripada usahawan dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis menyertai jelajah terbabit bagi Zon Utara yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Rohaizi berkata, selain peningkatan jualan, usahawan juga berjaya meningkatkan jaringan perniagaan melalui kontrak perniagaan.
Sebanyak 50,000 jualan disasarkan pada Zon Utara terbabit.
Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 melibatkan lima zon dengan Zon Utara merupakan lokasi ketiga selepas Zon Sabah dan Zon Timur.
(Rohaizi Bahari)