fb fb fb fb fb

Pemotongan peruntukan Ahli Parlimen cabaran buat wakil rakyat

(Foto FB Alexander Nanta Linggi)

SIBU, 6 Februari- Keputusan mengurangkan peruntukan pembangunan bagi Ahli Parlimen akan menyukarkan penyaluran bantuan dan tadbir urus bagi kawasan di pedalaman, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ahli Parlimen Kapit itu dalam kenyataan berkata pengurangan peruntukan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta itu akan memberi cabaran lebih besar kepada beliau dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kawasan pedalaman yang keluasannya menyamai negeri Pahang.

"Sebagai ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, saya amat memahami dasar tindakan ini yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.

"Meskipun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan ditingkatkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

Ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memastikan rakyat dapat dibantu dengan sebaiknya selari dengan hasrat Malaysia Madani.

Alexander yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata peruntukan sebelum ini membolehkan Ahli Parlimen membantu penduduk secara lebih efisien dan disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah atau jabatan kerajaan.

(Pemotongan peruntukan Ahli Parlimen cabaran buat wakil rakyat, menurut Datuk Seri
Alexander Nanta Linggi/FB Alexander Nanta Linggi)

Kebanyakan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Sarawak juga berada jauh di pedalaman yang tentunya amat bergantung pada peruntukan tersebut.

Peruntukan disalurkan ke Pusat Khidmat yang menjadi ‘pusat sehenti’ kepada penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan dengan kadar segera.

"Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar," katanya

Bukan sahaja golongan B40 dan ke bawah, malah golongan M40 yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi dan bergantung pada bantuan daripada wakil rakyat juga dapat dibantu melalui peruntukan ini.

Tentunya, pengurangan kadar peruntukan akan menjejaskan kualiti khidmat dan bantuan kerajaan yang dapat disalurkan oleh wakil rakyat dan atas dasar itu, Kerajaan perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani kekangan ini.

Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan tahunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.

Media Baharu