KUALA TERENGGANU, 6 Februari- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas 544 jenis produk kosmetik dan ubat-ubatan tidak berdaftar bermula Januari 2021 hingga Disember 2022.
Rampasan bernilai RM954,727 itu dilakukan menerusi 121 siri serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Farmasi JKNT hasil aduan orang awam dan risikan.
Pengarah JKNT, Datuk Kasemani Embong berkata, serbuan melibatkan premis perniagaan, kenderaan dan rumah kediaman yang dijadikan pusat operasi jualan atau tempat simpanan barang.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh 2019 hingga 2020 yang merekodkan rampasan 1,231 jenis produk bernilai RM1.19 juta.
Hasil serbuan, ubat yang paling banyak dirampas adalah pil pelangsingan badan dan ubat perangsang seks.
Pihaknya telah mengeluarkan denda sebanyak RM282,450 di bawah Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 Pindaan 2022 dan Akta Ubat Iklan dan Penjualan 1956 bagi tempoh 2021 hingga 2022.
"Kita ada 23 staf ataupun pegawai yang diberi tanggungjawab dalam aktiviti penguatkuasaan farmasi ini di mana kita bahagikan mereka ini kepada empat bahagian.
"Bahagian pertama adalah perlesenan yang kedua risikan dan juga operasi yang ketiga siasatan dan dakwaan keempat adalah kawalan iklan dan juga perkembangan penguatkuasaan farmasi. So kita melihat, kita punya kekuatan yang ada kira mampu membuat serbuan dalam lima hingga enam kali sebulan," katanya.
(Pengarah JKNT, Datuk Kasemani Embong)
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat Tahun 2023 di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam memeriksa status ubat-ubatan dengan KKM terlebih dahulu sebelum membeli.