fb fb fb fb fb

Pemindahan teknologi dan penyerahan model koc kereta api kepada UniKL MIDI, ke arah transformasi landskap dan ekosistem pengangkutan negara

CHERAS, 26 Januari - Syarikat pembekal komponen dalaman Tren MRT Laluan Putrajaya, KTK Group melalui syarikat usahasama KTK DOM Railway Sdn Bhd telah melaksanakan pemindahan teknologi dan penyerahan model koc kereta api kepada Universiti Kuala Lumpur Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI)

Model koc kereta api tersebut akan digunakan bagi tujuan penyelidikan dan latihan pelajar kejuruteraan

Ia turut ditawarkan kepada agensi berkepentingan dan mereka yang terlibat dalam industri rel.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata pelaksanaan inisiatif tersebut juga bertujuan memastikan impak dan keberhasilan kepada pembangunan keupayaan sektor rel negara agar lebih berdaya saing.

"Ini merupakan satu program yang baik kerana akan dapat diguna pakai oleh pihak UNIKL untuk menerapkan kepakaran kepada para pelajar kerana kepakaran ini diperlukan pada masa hadapan, khususnya bagi negeri yang belum mempunyai rel seperti di Sarawak dan di Sabah hanya sebahagian sahaja, Tenom ke Kota Kinabalu belum menyeluruh.

"Ia juga sebagai langkah transformasi landskap dan ekosistem pengangkutan negara, sekali gus membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut", kata Henry Sum dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Model Koc Kereta api kepada UniKL MIDI.

Model koc kereta api yang diserahkan pada hari ini turut dilengkapi dengan komponen dalaman serta sistem maklumat penumpang.

Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, wakil kedutaan asing dan pemain industri rel.

Media Baharu