fb fb fb fb fb

Pemimpin luar puji profesionalisme PDRM – PM

Kecekapan, dedikasi dan tahap profesionalisme tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendapat pengiktirafan pemimpin luar / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kecekapan, dedikasi dan tahap profesionalisme tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendapat pengiktirafan pemimpin luar, khususnya semasa Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang berlangsung bulan lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa pemimpin negara ASEAN dan negara lain melahirkan kekaguman terhadap pengurusan keselamatan yang cekap dan tersusun oleh pasukan keselamatan negara.

“Semasa lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang, beliau menyatakan kekaguman terhadap kecekapan pasukan polis kita yang disifatkan sebagai luar biasa.

“Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pula memberitahu saya bahawa sepanjang berdekad-dekad menyertai Sidang Kemuncak ASEAN, inilah antara pengurusan keselamatan yang paling cekap dan terbaik di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar turut memuji komitmen dan perkhidmatan cemerlang anggota PDRM yang sentiasa menunjukkan profesionalisme tinggi dalam setiap tugasan, sambil menyeru rakyat agar menzahirkan penghargaan yang sewajarnya terhadap jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara.

Dalam majlis sama, wang pampasan insurans turut diserahkan kepada tujuh waris anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Teluk Intan, Perak pada Mei lalu, mengikut kadar caruman masing-masing.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN