KUALA LUMPUR, 13 Jun - Kerajaan sedang meneliti cadangan memberikan kontrak projek pembangunan kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM), susulan prestasi cemerlang dan pengurusan yang kompeten koperasi tersebut.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah dipersetujui secara prinsip oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan butiran lanjut akan diperincikan dalam masa terdekat.
"Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu adalah satu bentuk sokongan kepada KPDRM, di mana secara prinsipnya, beliau bersetuju memberikan peluang kepada koperasi untuk melaksanakan beberapa projek utama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.
Datuk Seri Saifuddin berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad 2025, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.
Menurut beliau, KDN merupakan kementerian ketiga terbesar daripada segi peruntukan bajet tahunan, selepas Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Tambah beliau, antara keutamaan dalam peruntukan pembangunan KDN termasuk kerja-kerja menaik taraf Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara, terutamanya IPK yang usang dan tidak lagi mampu menampung keperluan operasi semasa.
Antara IPK yang dikenal pasti ialah IPK Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu, yang kini berada dalam fasa akhir pembinaan serta projek IPD baharu di Wangsa Maju, Kapit dan Padang Besar turut disenaraikan.
Datuk Seri Saifuddin menjelaskan, sokongan yang diberikan oleh Perdana Menteri adalah bersyarat, iaitu selagi koperasi menunjukkan pengurusan yang cekap, berintegriti, dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik dengan kos pelaksanaan yang munasabah.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa dua agensi penting yang terlibat dalam pelaksanaan projek KDN ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat diperbadankan Kementerian Kewangan.
Sekiranya inisiatif itu direalisasikan, ia dijangka akan memberi manfaat secara langsung kepada lebih 100,000 ahli KPDRM di seluruh negara.