fb fb fb fb fb

Pemilik syarikat direman kes kemuka penyata akaun bank palsu



ALOR SETAR, 16 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pemilik syarikat bagi membantu siastan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu.

Permohonan reman bermula hari ini sehingga Rabu, 19 Januari ini, dibenarkan Majistret Nur Nabilah A. Zainudin selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira 3.30 petang Sabtu di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan suspek dipercayai mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di wilayah utara untuk memasuki tender pada 2018 dan 2019.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap yang mengesahkan penahanan berkenaan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 11 Januari lalu, seramai 21 individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 25 syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes mengemukakan penyata akaun bank yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di sini antara 2018 dan 2019.

Sumber SPRM dipetik sebagai berkata kesemua syarikat dipercayai melakukan perbuatan itu bagi melayakkan mereka mendapatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta daripada syarikat pembersihan berkenaan.

Media Baharu