(FOTO HIASAN)
PUTRAJAYA, 10 Februari- Pemilik kenderaan persendirian kini boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) berkuat kuasa hari ini.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, inisiatif tersebut dilaksanakan selaras langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Insiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu."
"Ia termasuk motosikal dan juga mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum peluasan pelaksanaannya ke fasa-fasa seterusnya."
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman Paparan Digital Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) di Putrajaya.
Tambah beliau, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia, masih boleh memperoleh dan mengekalkan amalan memapar pelekat LKM seperti kebiasaan.
Pun begitu, Anthony Loke turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM dan LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 20(1), 90(1) dan 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ [https://public.jpj.gov.my/] ataupun aplikasi mobile MyJPJ yang boleh dimuat turun dari App Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery.
(Anthony Loke pada sidang media pengumuman Paparan Digital Lesen Kenderaan Motor
(LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) di Putrajaya)