fb fb fb fb fb

Pemilik haiwan dinasihat dapatkan suntikan vaksin rabies

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman (tengah) pada Karnival Sukan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Stadium Mount Austin, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU, 26 Oktober- Kementerian Kesihatan menasihati pemilik bagi memastikan haiwan peliharaan mereka diberikan suntikan rabies.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata langkah itu sebagai usaha pencegahan bagi memastikan penyakit berkenaan terus terkawal memandangkan situasi di Sarawak agak membimbangkan ketika ini.

Namun katanya, setakat ini tiada kes yang dilaporkan di negeri lain kecuali di Selangor sejak tiga tahun lalu.

“Situasi rabies di Semenanjung terkawal. Sejak 2020 hingga 2023 hanya terdapat tiga kes direkodkan di Selangor, namun di Sarawak lebih kritikal, sejak 2020 hingga 2023 terdapat 75 kes direkodkan dan dalam tahun ini sahaja, terdapat 17 kes baharu dengan 15 kematian direkodkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Stadium Mount Austin, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohtar Pungut.

Sementara itu, Lukanisman memberitahu, langkah-langkah pencegahan telah dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak termasuk menerusi Jabatan Veterinar yang menjalankan program suntikan vaksinasi terhadap haiwan peliharaan penduduk.

Jelasnya, Jabatan Veterinar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) telah membuka kaunter dan pemilik haiwan peliharaan boleh datang dan mendaftarkan haiwan mereka untuk mendapatkan suntikan.

“Bagi haiwan liar pula, suntikan vaksinasi akan dibuat apabila pihak berkenaan menerima aduan. Ini penting kerana anjing khususnya bergerak dalam kumpulan dan sering masuk ke kawasan kediaman. Kita bimbang mereka akan menyerang dan menggigit, khususnya golongan warga emas dan kanak-kanak. Jadi, usaha pencegahan rabies perlu dibuat secara teratur,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI