KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Mulai pertengahan bulan depan pengguna KTM Komuter dijangka boleh melakukan kaedah pembayaran terbuka di kesemua 57 stesen di Lembah Klang.
Ini termasuk penggunaan kad kredit, kad debit, Touch 'n Go dan kod QR menerusi aplikasi mobile KTMB (KITS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ketika ini kerja menaik taraf sistem tiket atau Automatic Fare Collection (AFC) untuk seluruh rangkaian KTM Komuter di Lembah Klang sudah hampir selesai.
"Dari segi dasar membudayakan penggunaan pengangkutan awam, pelaksanaan pembayaran terbuka bukan sahaja memudahkan urusan pengguna harian tetapi juga memberikan insentif kepada pengunjung dari dalam ataupun luar negara untuk memilih pengangkutan awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen di Dewan Rakyat, di sini.
Selain itu, tambah Loke sistem pembayaran terbuka melibatkan rangkaian Rapid Rail di Lembah Klang pula dijangka siap menjelang Ogos 2025.
Katanya, ketika ini Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan itu merangkumi Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, Laluan MRT Putrajaya dan Monorel.
Beliau berkata kerja reka bentuk dan pembangunan dijangka bermula pada Mac 2024 dan Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu hingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.