fb fb fb fb fb

Kekalkan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau, MOT adakan perbincangan dengan Singapura

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Malaysia akan berunding dengan Singapura untuk mengekalkan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau meskipun selepas projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mula beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia bagi menyediakan lebih banyak pilihan perkhidmatan tren kepada pengguna.

"Menerusi perjanjian bilateral antara Malaysia dengan Singapura untuk melaksanakan projek RTS, antara syarat yang dipersetujui adalah apabila siapnya perkhidmatan RTS nanti dan selepas RTS bermula, enam bulan selepas beroperasi perkhidmatan shuttle Tebrau ini akan diberhentikan, itu dalam perjanjian sebelum ini antara Malaysia dan Singapura," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini.

Loke menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat sama ada perkhidmatan shuttle Johor Bharu Sentral-Woodlands, akan dikekalkan selepas RTS mula beroperasi.

Tambah Loke, bilangan penumpang Tren Shuttle Tebrau mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan rekod penumpang bagi tahun ini meningkat tujuh peratus iaitu purata penumpang 8,635 orang sehari.

Sementara itu, Loke berkata perbincangan bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau juga telah dilaksana bersama Singapura.

Katanya, ia meliputi penambahan kekerapan operasi tren dari 31 trip kepada 36 trip.

Jumlah koc katanya turut ditambah kepada lapan koc berbanding empat koc bagi setiap operasi tren.

"Penambahbaikan ini akan menawarkan peningkatan kapasiti bilangan penumpang sehingga 13,760 orang, sehari," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN