fb fb fb fb fb

Pemilihan, pembinaan sekolah baharu akan ambil kira lokasi selamat

Fadhlina Sidek

ARAU, 17 Disember- Pemilihan dan pembinaan baharu sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa hadapan akan mengambil kira faktor kawasan selamat daripada kejadian banjir.

Perkara itu sebagai langkah untuk memastikan setiap sekolah tidak terjejas dengan musibah berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, perkara itu antara yang menjadi perhatian pihaknya dalam menyediakan sekolah lebih kondusif kepada pelajar dan guru terutamanya bila tiba musim banjir.

Selain itu langkah berkenaan juga sebagai langkah untuk memastikan setiap sekolah tidak terjejas.

"Pemilihan tapak untuk sekolah-sekolah baru ini mestilah kawasan-kawasan yang selamat dan tinggi. Kita juga sedia maklum bahawa sekolah-sekolah ini menjadi pemilihan untuk menjadi pusat pemilihan sementara (PPS).

"Jadi sekolah itu kena selamat. Kita mesti beri perhatian penuh sebelum memilih kawasan pembinaan sekolah baru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Projek Asrama Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama di Arau.

Dalam pada itu program TMUA turut diberikan lebih penekanan dalam mewujudkan aspirasi pendidikan negara ke arah melahirkan generasi seimbang dalam akademik dan hafazan al-Quran.

Fadhlina berkata program itu membolehkan pelajar lebih berdaya saing dengan mengintegrasikan pengetahuan agama serta kemahiran dalam bidang sains, teknologi, dan matematik (STEM).

"Setakat ini TMUA akan menumpukan perhatian kepada STEM dan juga kepada model ulul albab sahaja. Pada asalnya TMUA ini memang untuk mengeluarkan produk ulama dan umarak.

"Jadi ulama itu berdasarkan hafazannya, dan umarak itu berdasarkan kepada penguasaan mereka kepada STEM. Setakat ini kita mahu terus memastikan bahawa sekolah ini menjadi pilihan ibu bapa untuk program TMUA," katanya lagi.

SMK Agama Arau merupakan satu daripada 15 buah sekolah menjalankan program TMUA sejak sedekad lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI