fb fb fb fb fb

Pemerkasaan Undi18 antara tumpuan KBS dalam Belanjawan 2023

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Pemerkasaan Undi18 antara perkara yang bakal menjadi tumpuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata kementerian itu bercadang untuk mengadakan program demokrasi bagi menerapkan pemahaman politik kepada golongan belia susulan peningkatan jumlah pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15. 

"Kita perlu ada program demokrasi untuk pastikan apabila mereka keluar untuk mengundi, mereka tahu perbezaan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Ini semua adalah pendidikan. Ilmu itu perlu kita beri kepada belia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di Kuarters Institusi Pendidikan Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini. 

Selain itu, beliau berkata menyedari peningkatan kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar, KBS juga akan menumpukan kepada penganjuran program untuk mempersiapkan golongan belia dengan kemahiran yang boleh menjana pendapatan tambahan atau sebagai pilihan kerjaya.

Tambahnya, menerusi program Skills For Life bawah KBS, antara bengkel kemahiran yang telah dianjurkan ialah bengkel dandanan dan akan diperluaskan lagi kepada kemahiran teknikal lain seperti pemasangan penyaman udara.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu