fb fb fb fb fb

Pemerkasaan modal insan dan tenaga mahir, selari pelaksanaan konsep Malaysia Madani

BUTTERWORTH, 7 Februari- Pembangunan modal insan secara komprehensif melalui TVET, pendidikan luar bandar dan bina daya insan akan terus diperkasa.

Ia selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan konsep Malaysia Madani, dalam mengangkat semula martabat negara di persada dunia.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) telah berjaya membantu kerajaan dalam pembangunan negara melalui penyediaan tenaga mahir dan separa mahir bagi memenuhi keperluan industri.

"Perda Tech telah pun melahirkan sebanyak 11,051 graduan dalam bidang TVET dan kebolehpasaran mereka menerima sambutan baik dari industri.

Pada tahun 2022, 75% graduan ini bekerja dalam bidang yang mereka ceburi dalam TVET berkenaan manakala 13% dalam bukan bidang yang diceburi dan baki 12% lagi melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda dalam bidang berkenaan," kata Rubiah kepada pemberita RTM selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PERDA di sini, pagi tadi.


(Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang)

Program TVET PERDA dilaksanakan di Institut Kemahiran Perda (PerdaTech) dengan tujuh program sijil dan enam program diploma.

Sementara itu, Datuk Rubiah turut menjelaskan KKDW akan terus memberi tumpuan bagi proses pascabanjir khususnya melibatkan infrastruktur yang rosak akibat banjir.

"Kita bukan sahaja membantu dari sudut kemudahan tetapi kita juga menyediakan fasiliti yang rosak akibat banjir," tambahnya.

Media Baharu