KOTA BHARU, 7 Februari- Kerajaan Kelantan melancarkan Sistem E-Bencana dalam usaha menambaik sistem pengurusan bencana di negeri itu.
Sistem yang dibangunkan menelan kos perbelanjaan melebihi RM300,000, merupakan satu mekanisma pengurusan yang lebih kemas dalam menentukan peranan serta tanggungjawab agensi yang terlibat untuk bertindak menangani sesuatu bencana.
Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, ia diyakini dapat mengelakkan berlakunya pembaziran sumber, kekeliruan, konflik dan percanggahan antara agensi, selain dapat membantu rakyat serta harta benda mereka.
"Insya-Allah, kita doakan dengan adanya e-bencana ini memberi satu peningkatan dalam usaha kita untuk menyelamatkan rakyat Kelantan. Bukan sahaja rakyat malah harta benda dan sebagainya. Ia adalah satu kebaikan untuk kita," kata Ahmad selepas majlis pelancaran sistem berkenaan di Kota Bharu.
(Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ditemui pemberita RTM selepas majlis pelancarannya
di Kota Bharu)
Sementara itu, Datuk Ahmad memaklumkan kejadian banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) pada 2021 sehingga tahun ini menyebabkan beberapa infrastruktur rosak yang memerlukan kos baik pulih sebanyak dianggarkan bernilai RM172.3 juta.
Infrastruktur yang rosak itu membabitkan jalan, jambatan, sistem saliran dan pengairan, jeti serta cerun.
Jumlah itu adalah berdasarkan data yang direkodkan sehingga kini dan angka terbabit dijangka akan bertambah selepas proses pengumpulan data selesai dijalankan.