CYBERJAYA, 25 Oktober- Budaya membaca perlu diperkasa dalam kalangan generasi muda untuk membangunkan negara MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam keghairahan meneroka pemikiran baharu dan teknologi baharu, aspek penguasaan bahasa kebangsaan dan pemerkasaan budaya tidak boleh dibelakangkan.
Pemerkasaan ekonomi dan digital tidak mematangkan negara tanpa pemerkasaan budaya bahasa yang baik selain Belanjawan 2024 yang dibentangkan, juga tidak mengabaikan kepentingan memartabat khazanah seni, budaya dan bahasa.
"Minat dan kecintaan kepada ilmu itu harus ditanam dan diasak sejak zaman muda. Saya harap budaya ini harus dapat dihidupkan sebaik sahaja kita mampu membaca.
Saya kata membaca itu menelaah dan menghadam, baru kita dapat menguasai ilmu lebih mendalam dalam semua bidang," kata Anwar dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Tambah Anwar, kerajaan sentiasa menyokong setiap usaha pemerkasaan bahasa dan budaya membaca.