
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Pembukaan semula Padang Merbok sepenuhnya dianggap langkah strategik dan mesra rakyat, sejajar dengan usaha menambah ruang awam khususnya bagi kemudahan warga kota.
- Pembukaan semula Padang Merbok dianggap langkah strategik menambah ruang awam mesra rakyat untuk warga kota.
- Padang Merbok boleh menjadi ruang rekreasi komuniti yang memperkukuh kesejahteraan sosial dan kualiti hidup.
- Kerajaan akan bekerjasama dengan FINAS dan DBKL untuk program percuma dan mengenal pasti lebih banyak lokasi sesuai.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, raung awam berkenaan boleh dijadikan sebagai ruang rekreasi komuniti sekali gus memperkukuh kesejahteraan sosial dan kualiti hidup rakyat.
“Saya ucapkan terima kasih, terutama kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana berjaya menurunkan pagar ini. Pada masa yang sama, saya akan berhubung dengan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk mendapatkan bantuan, bukan sahaja untuk Padang Merbuk, tetapi juga sekiranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merasakan terdapat lokasi-lokasi lain yang sesuai.
“Ini bagi memastikan Kuala Lumpur mempunyai lebih banyak ruang untuk warga setempat beriadah, berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga dengan kos rendah atau percuma. Di sini, kita boleh mengadakan acara seperti Starlight Cinema bersama FINAS, filem-filem akan ditayangkan secara percuma. Kita juga akan berbincang dengan DBKL untuk mencari lebih banyak lokasi yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud meninjau kawasan Padang Merbok di sini.
Dalam pada itu Datuk Fahmi memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama DBKL bagi mengenal pasti lebih banyak kawasan awam yang boleh dimanfaatkan orang awam.
Langkah itu, menurut beliau, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak ruang inklusif khususnya di Kuala Lumpur.