KUALA LUMPUR, 22 Mac - Warga Malaysia yang berhasrat untuk mengembara ke luar negara bermula 1 April ini dinasihatkan untuk menyemak syarat kemasukan negara luar terlebih dahulu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Rakyat Malaysia perlu faham apabila sempadan dibuka, mereka bebas mengembara namun masih ada negara luar yang belum membuka sempadan sepenuhnya.
"Sebagai contoh, negara China masih mengenakan kuarantin selama 15 hingga 20 hari, maka mereka mungkin akan menghabiskan masa untuk menjalani tempoh kuarantin berbanding untuk bercuti," katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.
Katanya lagi, orang ramai yang ingin mengembara perlu bijak memilih negara luar seperti protokol atau syarat yang bakal dilaksanakan di Malaysia.
Pengembara juga digalakkan untuk menyemak dokumen perjalanan mereka untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum berlepas.
"Pastikan nama tidak disenarai hitam, tidak dikenakan perintah sekatan perjalanan," katanya.