fb fb fb fb fb

Pembukaan PMBA wujud kira-kira 400 peluang pekerjaan

Datuk Seri Aminuddin Harun

NILAI, 2 Mei- Pembukaan Kilang PMB Aluminium Sendirian Berhad (PMBA), di Kawasan Perindustrian Nilai bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan baharu terutamanya dalam bidang kumpulan profesional dan pekerja berkemahiran tinggi.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan pelaburan baharu ke Negeri Sembilan dan diharap dengan pembukaan kilang tersebut ia mampu meningkatan ekonomi di negeri itu.  

Kedudukan Negeri Sembilan yang amat strategik iaitu di terletak di Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia menjadikan ia sebagai salah sebuah destinasi pilihan para pelabur.

"Saya amat berbangga melihat kejayaan syarikat-syarikat tempatan yang melabur ini kerana ia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur semakin meningkat berbanding sebelum ini.

Tahniah kepada PMBA yang pastinya bakal membina kapasiti lokal dalam pengeluaran industri pembuatan aluminium yang menyokong pembangunan sektor teknologi hijau seperti kenderaan elektrik (EV) dan fotovoltan (PV) satu teknologi berkaitan penukaran tenaga daripada cahaya matahari kepada tenaga eletrik," katanya dalam Majlis Perasmian Kilang PMB Sendirian Berhad di Kawasan Perindustrian Nilai di sini.

Kilang PMB Aluminium Sendirian Berhad mengkhususkan pembuatan bingkai solar aluminium ekstrusi, komponen penting dalam usaha global menuju kepada tenaga boleh baharu selain menonjolkan komitmen terhadap kualiti, kecekapan, dan alam sekitar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI