fb fb fb fb fb

Pembinaan SMK Bertam Putra dijangka siap hujung tahun ini

KEPALA BATAS, 22 Ogos - Projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Putra di Kepala Batas yang terbengkalai sejak lebih dua tahun lalu, dijangka siap selewatnya hujung tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata projek bernilai RM27 juta itu telah 85.9 peratus siap.

Menurutnya, kontraktor yang terlibat juga telah diberikan tarikh akhir untuk menyiapkan projek berkenaan.

Malah disebabkan kelewatan berkenaan juga, projek pembinaan sekolah itu kini dikategorikan sebagai antara projek ‘sakit’ di negeri tersebut.

"Setiap kali berlaku kelewatan pembinaan projek membabitkan institusi pendidikan seperti sekolah ini boleh memberikan tekanan yang kuat kepada pembangunan modal insan setempat.

"Bayangkan pembangunan yang berlaku, rumah, projek perumahan, pertumbuhan penduduk tak seiring dengan pertumbuhan atau pembangunan institusi pendidikan menyebabkan berlakunya lambakan pelajar terpaksa pergi ke sekolah Bertam Perdana, Kepala Batas, kerana sekolah ini tidak siap," katanya selepas meninjau projek sekolah berkenaan di sini.

(Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican)

Selain projek pembinaan sekolah tersebut, terdapat sekurang-kurangnya satu lagi projek ‘sakit’ dan empat projek lewat atau terbengkalai di negeri itu.

Difahamkan, projek yang bermula sejak bulan April tahun 2018, sepatutnya siap kira-kira dua tahun kemudian, namun tertangguh akibat beberapa kekangan tertentu.

Antaranya, pelaksanaan sekatan pergerakan atau perintah kawalan pergerakan (PKP), kegagalan kontraktor melakukan pengubahsuaian dan kesukaran untuk mendapatkan pekerja asing.

Media Baharu