KUANTAN, 24 Ogos - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mahu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di Kuantan, Pahang disegerakan memandangkan tapak baharu sekolah tersebut telah ada.
Sekolah yang mempunyai 46 murid dan 8 orang guru itu, pernah dilaporkan media kerana terpaksa belajar dalam kontena yang diubah suai menjadi bilik darjah di atas tanah milik syarikat PASDEC Holdings Bhd.
Beliau berkata, sekolah tersebut telah dicadangkan berpindah ke tapak baharu, yang merupakan tanah milik kerajaan negeri Pahang.
Katanya, kerja-kerja pembersihan tanah telah selesai namun pembinaannya masih belum bermula kerana masalah kontraktor yang dilantik.
(Saifuddin bercakap kepada pemberita selepas melawat
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di sini)
"Pihak PASDEC telah bercadang untuk membuat pembangunan komersial di atas tanah ini, dan mereka mencadangkan supaya sekolah ini berpindah. Soalnya sekolah ini belum boleh berpindah kerana sekolah yang sepatutnya dibangunkan belum siap,"kata Saifuddin di sini.
Saifuddin berkata, pada Julai lalu Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Datuk K Nadeson telah menghantar sepucut surat kepada Timbalan Menteri Pendidikan agar pembinaannya disegerakan dan akan bertemu dalam masa terdekat.
Pada masa sama, beliau meminta agar PASDEC Holdings Bhd dapat membenarkan sekolah tersebut beroperasi sehingga bangunan sekolah yang baharu siap.