fb fb fb fb fb

Pembinaan menara JENDELA, syarikat yang culas akan diambil tindakan tegas

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 1 Jun- Tindakan tegas bakal diambil terhadap syarikat-syarikat yang culas, lewat dan gagal menyiapkan pembinaan menara-menara telekomunikasi di bawah Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, beberapa syarikat telah diberi amaran terakhir, memandangkan ia sepatutnya telah disiapkan dua tahun lalu.

"Mereka perlu segera menyiapkan kerana duit itu adalah duit rakyat dan ini bukan projek komersial, mereka telah mendapat isyarat paling jelas daripada saya, MCMC, Timbalan Menteri dan KSU."

"Ada dalam kalangan mereka telah mendapat kontrak sejak bulan Januari 2022, tempoh pembinaan menara sembilan bulan tapi kita telah jauh melepasi tempoh tersebut," kata Fahmi kepada pemberita

Sementara itu, Fahmi yang ditanya mengenai perkembangan peratusan terkini pembinaan menara itu, terdapat dalam 2-3 buah syarikat yang berada dalam tahap 50% ke 80% namun semuanya akan diberi tumpuan.

Tegasnya, jika ada yang tidak menepati garis masa yang telah mereka sendiri tentukan, maka tindakan tegas akan diambil.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, kesemua 398 menara telekomunikasi baharu dirancang dalam Fasa 1 pelan JENDELA di Sabah dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi menepis dakwaan yang disebarkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab mengenai isu kontrak yang diterima oleh suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh daripada kerajaan Selangor, baru-baru ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi serta membincangkan isu itu secara terbuka, sebaliknya memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan siasatan.

"Kita jangan menyebarkan sebarang maklumat yang mengandungi data peribadi ataupun disebut sebagai Personally Indentify Information (P.I.I). Ini melanggar akta perlindungan data peribadi kalau kita sebarkan contohnya meletakkan maklumat peribadi seperti no kad pengenalan, alamat rumah atau nombor telefon."

"Itu satu kesalahan dan mereka yang menyebar maklumat peribadi ini boleh dikenakan tindakan," tambah Fahmi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM