fb fb fb fb fb

Pembiayaan menunaikan umrah, HLISB-Andalusia jalin kerjasama strategik

Pengarah Andalusia Travel and Tours, Ida Riswana Idris

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman dengan Hong Leong Islamic Bank Berhad, HLISB dengan menawarkan pembiayaan patuh Syariah bagi ziarah umrah.

Kerjasama itu memastikan pelanggan mempunyai akses kepada kaedah yang lebih mampu untuk membiayai ibadah umrah.

Pengarah Andalusia Travel and Tours, Ida Riswana Idris optimis kolaborasi ini memanfaatkan pangkalan pelanggan yang lebih besar dengan menyediakan perkhidmatan kewangan yang holistik.

"Apa yang kita harapkan supaya boleh membantu orang muda yang ada pendapatan tetap ingin mengerjakan umrah, tetapi perlu bantuan dari segi penyusunan semula kewangan mereka.

"Bila ada kolaborasi dengan institusi kewangan, mudahlah mereka membuat pembayaran secara bertangguh dengan pendapatan sedia ada", katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd bersama Hong Leong Islamic Bank di ibu negara.

Dua kategori pembiayaan ditawarkan HLISB iaitu pembiayaan Peribadi-i dan Akaun Pay & Save-i yang memberi nilai tambah kepada pelanggan Islam.

"Ini kali kolaborasi pertama dengan Hong Leong Islamic. Kita lihat Hong Leong Islamic Bank adalah satu institusi yang agak terbuka, bukan sahaja membenarkan pembiayaan juga menggalakkan orang ramai menyimpan dahulu. Melalui pembiayaan kewangan ini, dengan Hong Leong Islamic Bank, saya rasa perkara ini boleh menjadi realiti", katanya.

Andalusia turut berhasrat memperkukuh reputasi cemerlang sedia ada dengan mengekalkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan secara aktif serta memperkasa umat Islam menunaikan kewajipan agama dengan lancar.

ROSLINA BINTI DIN