KUALA LUMPUR, 12 Februari - Kerja-kerja pembersihan sisa kebakaran di sekitar blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras selesai pada sekitar pukul 8.00 pagi tadi yang dilakukan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMP).
Pada masa sama, aktiviti penduduk di blok tersebut berjalan seperti biasa dan pergerakan keluar masuk penduduk setempat juga berjalan lancar namun masih dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) beserta unit forensik sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai punca kebakaran.
Menurut JBPM, terdapat seorang mangsa wanita berusia 62 tahun mengalami sesak nafas namun mangsa kini berada dalam keadaan stabil.
Laporan JBPM turut memaklumkan, kelima-lima unit rumah itu terbakar antara 85 hingga 97 peratus dengan keluasan rumah 20 kali 40 kaki persegi.
Kegagalan sistem pemadaman di lokasi menyebabkan pihak JBPM sukar memadamkan kebakaran dengan lebih awal dalam kejadian malam tadi.
Dalam pada itu, petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghantar bantuan dua tangki air besar bagi kegunaan penduduk di flat tersebut.
Ini susulan bekalan air di sebahagian Blok 70 perumahan berkenaan terputus sejak lewat malam tadi selepas berlaku kebakaran.
Setakat ini, sejumlah 1,000 liter air bersih dibekalkan dan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Sementara itu, tinjauan RTM mendapati anggota keselamatan terdiri daripada PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berada di flat tersebut sejak malam tadi.
Sehingga kini, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih mengenal pasti punca berlaku kebakaran yang melibatkan 16 mangsa daripada lima buah keluarga.
Kesemua mangsa terlibat kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Sri Cheras.