(Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bersama kanak-kanak yang menerima vaksin Pneumokokal terawal pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Auditorium Kompleks E Presint 1/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 31 Mei- Kementerian Kesihatan (KKM) memperluas pemberian vaksin Pneumokokal kepada kanak-kanak berusia empat dan lima tahun secara serentak bermula esok sehingga 31 Mei tahun depan.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, pemberian vaksin secara percuma menerusi inisiatif Imunisasi Catch-up Pneumokokal (CHUP) bertujuan mengoptimumkan perlindungan terhadap penyakit Pneumokokal Invasif dalam kalangan kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019.
(Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa)
"Sebenarnya pemberian vaksin ni ibu bapa boleh bawa anak-anak ke mana mana fasiliti kita secara walk in tetapi kita juga ada janji temu melalui My sejahtera. Jadi mereka juga boleh pergi ke My Sejahtera dan membuat tempahan.
"Kita sebenarnya menyasarkan 700,000 kanak kanak yang berusia 4 hingga 5 tahun dalam program CHUP. Walaupun sasaran kita 700,000 orang, kita harapkan sekurangnya capai 70 peratus dari sasaran kita", katanya.
Ia melibatkan semua fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023 bertemakan 'Tingkatkan Liputan, Kurangkan Keciciran' di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.