(Zaliha di Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi, Pertukaran Kakitangan
dan Perhimpunan Bulanan Sukuan Ke 2)
KUALA PERLIS, 31 Mei- Kadar kebolehpasaran lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis kini mencapai 100% bagi kesemua tujuh kursus ditawarkan iaitu Teknologi Marin, Teknologi Automotif, Penyelenggaraan Kereta, Penyelenggaraan Kenderaan Perdagangan, Penyelenggaraan Kenderaan Berat dan Semburan Cat, Kejuruteraan Awam bagi Lukisan Senibina dan Scaffolding.
Menurut Pengarahnya, Zaliha Abu Bakar, seramai 428 pelatih sedang mengikuti bidang kemahiran dalam tujuh kursus yang ditawarkan dan 200 pelajar baharu disasarkan memulakan latihan bagi kemasukan Ogos nanti.
Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran lepasan IKBN Kuala Perlis, kerjasama strategik turut dijalin dengan 12 syarikat ternama bagi latihan industri dan penempatan pekerjaan selepas pengajian.
Antara syarikat terlibat ialah Inokom Corporation Sdn Bhd, MAA Builder Enterprise, Shaziman Transport Enterprise, Element Five Marines Services Sdn Bhd dan Asiatech Scaffold Engineering Sdn Bhd.
"Ada beberapa lagi syarikat yang kita sedang kenal pasti untuk kita panjangkan lagi kolaborasi kita. Sebahagian daripada kolaborasi ini adalah dari segi penempatan latihan industri dan juga orang kata sebagai pusat latihan untuk kita perkemaskan kemahiran tenaga pengajar," kata Zaliha kepada media di Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi, Pertukaran Kakitangan dan Perhimpunan Bulanan Sukuan Ke 2 di sini.
Sejak beroperasi pada tahun 2004, IKBN Kuala Perlis telah melahirkan hampir 4,000 lepasan berkemahiran tinggi yang berkhidmat dalam pelbagai sektor industri di dalam dan luar negara.
(Zaliha berkata kadar kebolehpasaran lepasan IKBN Kuala Perlis capai 100%)