fb fb fb fb fb

Bekas CEO mengaku tidak bersalah, tipu kandungan invois

BUTTERWORTH, 31 Mei- Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan mengaku tidak bersalah hari ini di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah atas pertuduhan yang melibatkan penipuan invois berjumlah RM40,000.

Tertuduh Aziedy Abdul Talib, 42, membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pendakwaan, dia dituduh menipu kakitangan Mutiara.com Sdn Bhd untuk mempercayai kandungan invois bagi perkhidmatan Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service adalah benar bagi mendorong bayaran sebanyak RM40,000 kepada syarikat ATR Resources Enterprise.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di pejabat Mutiara.Com Sdn Bhd pada 11 Oktober 2016.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh turut dituduh dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24, akta yang sama (Undang-Undang Malaysia Akta 575).

Ia memperuntukkan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam CP Ang.

Mahkamah turut menetapkan jaminan RM10,000 selain syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu pejabat SPRM serta pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun ini.

(Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Pulau Pinang)

Media Baharu