
KUALA LUMPUR, 26 Februari – Kerajaan Persekutuan dan negeri, pemain industri serta pihak berkuasa tempatan perlu lebih berani menganugerahkan kontrak berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada syarikat tempatan khusus bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- Kerajaan dan pihak berkaitan digesa beri lebih banyak kontrak AI kepada PKS tempatan untuk percepatkan penggunaan teknologi secara meluas.
- Penggunaan AI dijangka tingkatkan produktiviti, kecekapan, inovasi dan ciptakan pekerjaan berkemahiran tinggi.
- Skim Digital Ekosistem dilancarkan bagi memperkukuh ekosistem digital Malaysia dan tarik pelaburan digital berdaya saing serta inklusif.
Ia bertujuan mempercepat pengunaan teknologi itu secara menyeluruh dalam ekonomi negara.
Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan, infrastruktur dan insentif, tahap penerimaan AI dalam kalangan industri masih perlu dipertingkatkan.
“Penggunaan teknologi AI akan membantu meningkatkan produktiviti kecekapan memaju inovasi serta menawarkan pekerjaan yang berkemahiran tinggi.
Bagi memacu ekonomi digital sebagai enjin pertumbuhan baharu negara, kerajaan telah melancarkan Skim Digital Ekosistem sebagai instrumen dasar untuk memperkukuhkan ekosistem digital di Malaysia”, katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata Malaysia kini giat mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau dan global sebagai destinasi pelaburan digital yang berdaya saing dan inklusif melalui pelaksanaan pelbagai strategi sedia ada dan baharu.
Beliau menjawab soalan wakil Cheras Tan Kok Wai mengenai kedudukan Malaysia dalam ekosistem AI serta strategi untuk menarik pelaburan bernilai tinggi yang melibatkan penciptaan teknologi, pemindahan kepakaran dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.