fb fb fb fb fb

Pembayaran sagu hati tangguh umrah hanya melalui akaun simpanan Tabung Haji




MELAKA, 15 Februari- Jemaah yang terpaksa membatalkan ibadah umrah dan masih belum membuka akaun simpanan Tabung Haji diminta untuk berbuat demikian dalam kadar segera sebelum 18 Februari ini bagi tujuan pembayaran sagu hati akibat pembatalan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, bagaimanapun sekiranya masih ramai yang belum berbuat demikian, tempoh pembukaan akaun tersebut akan dilanjutkan sehingga Mac depan.

Jelasnya, ia berikutan tiada kaedah lain akan digunakan untuk menyalurkan sagu hati tersebut dan hanya melalui akaun simpanan Tabung Haji sahaja.

Katanya, setakat ini hampir seribu jemaah daripada 8,027 jemaah yang membatalkan ibadah umrah mereka masih belum membuka akaun berkenaan.

"Saya telah mengarahkan kepada pihak perhubungan awam Tabung Haji supaya memaklumkan semua pejabat cawangan jika ada dalam kalangan jemaah yang hendak membuka akaun,"kata Idris.

Beliau berkata demikian pada majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat negeri Melaka di Auditorium Masjid Al Azim, Melaka.

Sebelum ini, beliau berkata sagu hati sebanyak RM1,671 seorang bakal dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan Tabung Haji.

Usaha itu dilaksanakan ekoran penggantungan semula perjalanan penerbangan pesawat untuk semua urusan ibadah umrah selama sebulan yang baru berakhir ditarik balik pada 7 Februari lalu.

Media Baharu