KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pembangunan semula bandar, khususnya di ibu negara, perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira warisan sejarah, identiti komuniti setempat dan kelestarian alam sekitar, bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata banyak kawasan di Kuala Lumpur memiliki nilai sejarah tersendiri yang wajar dipelihara dan diraikan dalam setiap perancangan pembangunan semula bandar.
“Kalau kita lihat Kuala Lumpur, memang ada komuniti yang sudah lama tinggal di sesuatu kawasan sebelum ia dibangunkan. Saya harap nilai sejarah ini diraikan sama ada melalui reka bentuk atau pemilihan pokok dalam pembangunan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Taman Rimba Bukit Kerinchi, hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pembangunan kawasan seperti di Pantai Sentral Park perlu dilakukan secara seimbang agar tidak meminggirkan penduduk asal termasuk komuniti B40 di sekitar kawasan seperti Kampung Kerinchi dan Taman Bukit Angkasa.
Katanya, bagi kawasan Parlimen Lembah Pantai sendiri, beberapa kawasan termasuk Taman Bukit Angkasa telah dikenal pasti untuk pembangunan semula kerana prasarana projek perumahan di situ seperti lif, yang dibangunkan 30 hingga 40 tahun lalu, kini berada dalam keadaan usang dan daif.
“Pembangunan perlu bersifat inklusif supaya komuniti sedia ada turut mendapat manfaat seperti penyediaan rumah mampu milik dan berkualiti,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fahmi mencadangkan supaya satu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar diwujudkan bagi memastikan pembangunan semula dijalankan secara sistematik, adil dan berlandaskan kerangka perundangan yang jelas.
“Ini kerana bila kita nak buat pembangunan semula, mesti ada titik keseimbangan di antara pemilik yang memiliki strata title dan juga keperluan majoriti seperti Perdana Menteri sebut sebelum ini.
"Kadang-kadang banyak dari hartanah ini berada dalam keadaan yang tidak sempurna dan hadapi pelbagai masalah.
"Maka untuk pastikan seluruh penduduk, terutamanya pemilik, mendapat manfaat, kita perlu ada undang-undang yang jelas,” katanya.
Oleh itu, beliau meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya meneliti dan mempertimbangkan elemen sejarah untuk dikekalkan dalam pembangunan semula 139 kawasan yang telah dikenal pasti di ibu negara.
“Bila kita nak buat pembangunan semula, mesti ada titik keseimbangan antara pemilik strata dan keperluan majoriti, seperti disebut Perdana Menteri sebelum ini. Banyak hartanah kini berdepan pelbagai masalah dan dalam keadaan tidak sempurna,” tambah beliau.