fb fb fb fb fb

Pembangunan Kampung Baru: PM cadang kaedah lain tanpa pinggir kepentingan orang Melayu

KUALA LUMPUR, 21 Februari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak beberapa cadangan pembangunan semula Kampung Baru yang dikemukakan kerajaan terdahulu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia termasuk proses jual beli yang mencecah RM7 bilion.

Sebaliknya Anwar memberi jaminan pentadbiran di bawahnya akan mencari kaedah lain tanpa meminggirkan kepentingan orang Melayu di kawasan itu.

“Ada cadangan untuk mengadakan proses jual beli dengan tanggungan kerajaan yang mencecah RM6 hingga RM7 bilion, yang tidak mampu dikendalikan kerajaan sekarang.

“Ada juga cadangan membawa syarikat swasta membangunkan Kampung Baru, tapi menjejaskan kepentingan dan kedudukan orang Melayu di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS).

“Ada juga cadangan mengadakan proses pajakan, maknanya penduduk Kampung Baru boleh pajak. Saya tidak fikir ini semua wajar.

"Kalau pajak 60 hingga 99 tahun, akan timbul keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu di Kampung Baru kerana terlepas tangan. Ini saya tak boleh terima.

“Apa pun kita lakukan, harus memastikan pembangunan berjalan tetapi kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru tetap dipertahankan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan bercadang meneruskan pembanguanan Kampung Baru secara menyeluruh selaras dengan sasaran Kuala Lumpur Smart City 2030, seperti diusahakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau meminta diberi ruang sepenuhnya untuk mengkaji semula isu tersebut dengan mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak selain mengambil kira pandangan masyarakat di Kampung Baru.

Media Baharu