KAMPUNG GAJAH, 30 April- Beberapa projek pembangunan dan kerja menaik taraf infrastruktur di dalam kawasan Parlimen Pasir Salak diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata projek-projek terbabit berdasarkan keperluan semasa yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
"Projek perhubungan jalan desa, naik taraf jalan-jalan kampung dalam Parlimen Pasir Salak menelan belanja RM2 juta. Peruntukan diluluskan sebanyak RM2.5 juta. Permohonan baik pulih dan menaik taraf Kompleks Sejarah Pasir Salak kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan dibincangkan," katanya kepada pemberita di sini.
Turut diluluskan projek bekalan air luar bandar di zon anak sungai dan kerja menaik taraf struktur bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak.
Peruntukan RM2 juta turut diluluskan bagi membina semula rumah kedai di Pekan Kecil Seberang Perak yang musnah dalam kebakaran Februari lepas.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan jalan dan jambatan dari Bagan Datuk ke Kampung Sejagop akan dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada 31 Mei ini.

(Peruntukan RM2 juta turut diluluskan bagi membina semula rumah kedai di Pekan
Kecil Seberang Perak yang musnah dalam kebakaran Februari lepas)