MUKAH, 30 April - Sarawak dijangka terus merekodkan peningkatan pendapatan pada tahun ini berikutan kejayaan mencatatkan pertambahan pendapatan dalam tempoh empat tahun termasuk RM12 bilion pada 2022.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendapatan yang direkodkan Sarawak pada tahun lepas adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negeri ini.
Beliau yakin dengan adanya peningkatan pendapatan berkenaan, banyak pembangunan boleh dilaksanakan di seluruh Sarawak termasuk di Mukah.
“Pada 2022 pendapatan Sarawak tidak pernah dalam sejarah ialah RM12 bilion, sebelum itu dah naik daripada RM10 bilion kepada RM11 bilion dan kita doakan pada tahun ini (2023) akan mencatatkan peningkatan juga.
"Kita akan melaksanakan projek pembinaan tebingan sungai Mukah yang baharu dianggarkan menelan kos RM60 juta dan kini sedang dalam peringkat reka bentuk kejuruteraan," katanya semasa merasmikan Pesta Kaul Mukah 2023, sebuah pesta tahunan kaum Melanau, di Mukah, Sarawak semalam.
Tambahnya sebuah syarikat minyak dan gas kini sedang melakukan anggaran jumlah minyak dan gas yang terdapat di perairan Balingian.
Selain itu, Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) telah mengenal pasti 60 projek dengan nilai berjumlah RM1 billion yang akan dibangunkan dalam Bahagian Mukah.
(Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg/FOTO FB Alexander Nanta Linggi)