KUALA LUMPUR, 24 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perancangan pembangunan bandar mempertahankan identiti negara.
Tegasnya, aspek itu penting terutama melibatkan aspek kesenian dan kebudayaan.
Aspek keindahan kesenian budaya yang tersendiri dan unik itu mesti kita pertahankan. Beritahu pada Datuk Bandar yang ada di sini. Setiap kali kita bangunkan projek-projek, sekecil warung atau setinggi bangunan mega, jangan tinggalkan aspek teknologi canggih yang tentunya saudara kuasai.
Tetapi, perlu kita jadikan Malaysia ini dari segi perancangannya, sosok bandarnya, kotanya sebagai yang unik, yang tersendiri, yang dikenali. Ini corak Malaysia, ketimbang New York atau London atau Jepun," kata Anwar malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024 di ibu negara.
Jelas beliau, selain perancangan yang tersusun perancangan bandar juga perlu mengambil kira persekitaran hijau dan keselesaan rakyat, agar tiada jurang dalam kalangan masyarakat.
Oleh itu, semua pihak perlu memanfaatkan masa dan peluang yang ada, terutama dalam memberikan tumpuan penuh kepada agenda pembangunan negara.
Dalam pada itu, beliau juga turut mengucapakan tahniah kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Felo Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia 2024, dalam membangunkan negeri Sarawak.