PUTRAJAYA, 18 April - Pengambilan Lesen Vokasional untuk kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dapat dipercepatkan dalam tempoh seminggu berbanding tiga bulan selepas pemansuhan ujian teori.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pemandu e-Hailing hanya perlu mengikuti kelas teori yang ditetapkan sebelum boleh memperoleh lesen tersebut dalam tempoh singkat.
Penambahbaikan itu juga dapat mengatasi isu permohonan yang tertangguh berikutan calon pemandu e-Hailing perlu menunggu giliran yang lama untuk menjalani ujian teori.

"Jadi dengan kita memperkenalkan dasar baharu iaitu memansuhkan ujian teori, mereka hanya perlu menduduki kelas teori tersebut sama ada secaa fizikal ataupun secara dalam talian maka proses itu agak cepat, maka kita boleh mengeluarkan lesen PSV ini pada semua pemandu e-Hailing yang sudah menduduki kelas teori tersebut," katanya pada sidang media selepas penyerahan lesen PSV e-Hailing kepada 300 calon pemandu e-Hailing, di sini.
Tambah Loke, mengikut rekod syarikat pengendali perniagaan penghantaran, lebih 2,000 permohonan bagi mendapatkan lesen PSV tertangguh melibatkan kawasan Lembah Klang.