fb fb fb fb fb

Pemandu bas persiaran dikesan guna lesen palsu

KUALA PERLIS, 19 Oktober - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis berjaya mengesan seorang pemandu bas persiaran yang menggunakan lesen memandu palsu.

Dalam Operasi Khas yang dijalankan oleh Unit Operasi JPJ Perlis di KM 26 Jalan Kuala Perlis-Changlun itu, pegawai penguat kuasa telah mengambil tindakan mengeluarkan Notis Saman kepada pemandu bas persiaran tersebut.

Saman dikeluarkan atas kesalahan menggunakan Lesen Memandu Palsu dan Lesen Vokasional/Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam ( PSV) palsu di bawah Seksyen 108(5) dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi kesalahan tiada lesen memandu.

(Operasi Khas Unit Operasi JPJ Perlis di KM 26 Jalan Kuala Perlis-Changlun)

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata dalam operasi sama pihaknya turut mengesan sebuah lagi bas persiaran yang tidak mempunyai pemandu pelancong di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Setiap bas persiaran perlu menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong bagi setiap perjalanan yang dilakukan oleh syarikat bas persiaran ini.

Sepanjang tahun ini, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas dua pemilik bas persiaran yang melakukan kesalahan tidak menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong.

Media Baharu