KUALA LUMPUR, 7 Mac- Pelbagai usaha telah dan sedang diambil oleh kerajaan dalam terus memastikan pengaliran masuk pelaburan asing berkualiti tinggi ke dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 juga akan diumumkan pada suku ketiga 2023 sebagai hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi.
"Kita juga memanfaatkan pemudah untuk diperkasa dan mempercepat supaya iklim pelaburan itu tidak tertakluk pada satu tetapi diperluaskan dalam bidang-bidang pendigitalan dan teknologi maklumat yang dianggap sebagai pendekatan baru yang akan diumumkan dalam pelan induk perindustrian baru 2030 yang akan dibentangkan pada suku ketiga 2023," katanya.
Tambahnya lagi, selaras dengan pelan tersebut, insentif pelaburan akan distruktur semula ke arah kadar cukai berasaskan hasil seperti mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan mewujudkan kelompok industri baharu.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Sebelum ini, Anwar pernah memaklumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 bahawa penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Malaysia dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) akan menerajui usaha mengenal pasti pelaburan berkualiti tinggi disamping mempercepat kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi.