fb fb fb fb fb

Pelbagai pendekatan diambil jadikan Perlis bersih

KUALA PERLIS, 21 September- Usaha bagi menjadikan Perlis sebuah negeri yang bersih selaras dengan tagline kerajaan negeri iaitu “Perlis Go Clean” akan dipertingkat khususnya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Selain aktiviti di lapangan bersama komuniti membersihkan sesuatu kawasan, media sosial turut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyebar luas mesej berkaitan kebersihan dan aktiviti berkaitan serta turut menggunakan platform Khutbah Jumaat bagi memberi kesedaran berkenaan tanggungjawab menjaga kebersihan.

Menurut Exco Negeri, Fakhrul Anwar Ismail, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta setiap kali pelaksanaan program kebersihan sudah menjadi kebiasaan. Namun begitu penglibatan sukarelawan seperti Hero Kebersihan turut berperanan penting dalam melaksanakan aktiviti pembersihan seluruh Perlis.


(Program World Clean Up Day di Persisiran Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis)

Sehingga kini terdapat 2,856 sukarelawan Hero Kebersihan di Perlis yang aktif dalam setiap aktiviti pembersihan yang mana mampu memberi impak yang tinggi dalam mengubah minda masyarakat agar lebih mencintai kebersihan.

"Kita sangat-sangat mengalu-alukan tenaga sukarela khasnya di peringkat sekolah, di peringkat IPT supaya dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukan itu secara tidak langsung lah akan membersihkan kawasan dan juga memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa ia adalah tanggungjawab semua." kata Fakhrul.

Beliau memaklumkannya kepada media ketika menyertai Program World Clean Up Day di Persisiran Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis bersama 250 peserta pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pelajar IPTA dan sukarelawan Hero Kebersihan.

Pada program ini, beliau turut melancarkan papan tanda kebersihan “Buang Sampah Ke Dalam Tong Sampah” bagi memberi kesedaran agar masyarakat lebih peka dalam menguruskan sisa pepejal yang betul dan sistematik.

Media Baharu