(Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami ketika menjawab
pertanyaan di Dewan Negara hari ini)
KUALA LUMPUR, 30 Mac - Pelbagai inisiatif dan latihan disediakan oleh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu belia bergelar usahawan.
Timbalan Menterinya, Saraswathy Kandasami berkata antaranya Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baharu (N-GENE) berjaya melatih seramai 2,300 usahawan muda dan Program Latihan Asas Keusahawanan (ETR 101), seramai 5,767 belia berjaya mendapatkan asas pendedahan dan kemahiran keusahawanan.
"Program Usahawan Perantis (SPACE) yang telah melatih seramai 300 orang graduan di peringkat institusi pengajian tinggi dan yang telah menerima latihan bagi pembangunan produk. Daripada jumlah tersebut, seramai 28 orang peserta layak diberikan geran selepas tamat program mengikut kriteria yang ditetapkan dan program-program lain yang memberi pendedahan awal mengenai inisiatif kebolehpasaran dan keusahawanan adalah Program Kembara Kerjaya dan Program Latihan Penempatan Kerjaya dan Keusahawanan Bagi Graduan TVET (GRACE)," kata Saraswathy ketika menjawab pertanyaan ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Nuing Jeluing di Dewan Negara, di sini hari ini.
(Foto hiasan)
Dalam pada itu, seramai 7,183 orang usahawan belia bumiputera,mendapat manfaat di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) SME Corp.
Manakala daripada jumlah tersebut, seramai 6,986 orang usahawan belia telah mendaftarkan perniagaan dan mendapat geran permulaan perniagaan sebanyak RM100.3 juta dan telah mewujudkan sebanyak 12,686 peluang pekerjaan baharu.